Saya pernah terfikir iaitu kaum Muslimin yang soleh ketika matinya akan disambut oleh bidadari di alam Mahsyar. Kalau kaum Muslimat, siapa yang menyambutnya?

Jawapan: Bidadari yang saudari maksudkan itu di dalam bahasa al-Quran disebut al-Hurul Ain, al-Hurul jamak daripada perkataan Haura’ ertinya perempuan yang putih, manakala al-Ain asalnya Uyun, jamak daripada Aina ertinya perempuan yang jeli matanya. Maka, al-Hurul ‘Ain atau bidadari itu adalah perempuan yang putih bersih warna kulitnya lagi indah dan jeli keadaan dua matanya.

Bidadari itu bukanlah daripada kalangan perempuan dunia dan bukanlah anak Adam atau manusia. Jika kita melihat sebahagian hadis ada menyatakan paling kurang daripada isteri seorang dalam syurga adalah dua orang perempuan anak Adam, dan tujuh orang bidadari. Kalau manusia daripada tanah, bahan yang menciptakan bidadari adalah daripada mutiara sebagai mana sesetengah hadis.

Bidadari itu tempatnya di syurga dan bukan di padang Mahsyar seperti firman Allah SWT dalam surah ad-Dukhan ayat 4 bermaksud: “Orang yang bertakwa itu berada pada tempat yang sejahtera. Di dalam taman syurga dan segala mata air. Mereka berpakaian sutera halus dan sutera tebal, yang mana mereka duduk berhadapan. Seperti demikianlah Kami sandingkan mereka itu dengan bidadari.”

Kembali kepada pertanyaan saudari, kalau bidadari itu bahagian orang lelaki dari Muslimin, maka bagaimana pula dengan kalangan perempuan? Subhanallah.
Wanita di dunia ini jika meninggal dunia akan dipertemukan Allah SWT dengan suami mereka, dan jika ia masih gadis akan dipersandingkan dengan lelaki ahli syurga dengan segala kepuasan dan keredaan hati, tanpa sesuatu kekurangan dan kekecewaan dan mereka akan mendapat sesuatu nikmat yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah didengar oleh telinga dan belum pernah terlintas di dalam hati.

Satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Allah SWT berfirman: “Aku sudah menyediakan buat hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga serta belum pernah terlintas oleh hati seseorang.

Cubalah kamu membaca: Fala ta’lamu nafsum maa ukhfiya lahum min qurrati a’yun (Surah Sajdah ayat 17 yang bermaksud: “Maka tidak ada satu jiwa pun yang mengetahui kesedapan mata yang disembunyikan buat mereka).

Janganlah pula kalangan perempuan rasa iri hati disebabkan lelaki di syurga nanti disediakan bidadari kerana kaum wanita ahli syurga juga akan mendapat bahagian mereka disebabkan amal soleh yang mereka lakukan di dunia dulu.

Begitu juga janganlah ada wanita berasa iri hati disebabkan Allah SWT mengizinkan lelaki berpoligami tidak bagi wanita. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang telah dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada sebahagian yang lain. Bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang telah diusahakan dan bagi wanita pun ada bahagian dari apa yang mereka sudah usahakan.” Wallahualam.

Sumber dari:
Mazlina mohd nazir dan Fatimah,
Alor Setar, Kedah.

About these ads