عن أبى هريرة رضى الله عنه عن النبى صلى الله عليه وسلم قال :إيّاكم والظّنّ فإنّ الظّنّ أكذب الحديث
( متفق عليه)
Daripada Abu Hurairah, NABI SAW bersabda : “ Berhati-hatilah kamu daripada berperasangka, kerana prasangka adalah sebohong-bohong ucapan. “ ( Muttafaqun Alaih )

Ulasan Hadis :

1. Di dalam Hadis ini NABI SAW telah berpesan kepada kita agar berhati-hati dengan prasangka yang buruk terhadap seseorang.

2. Berprasangka yang terlarang adalah prasangka buruk dan ianya boleh menimbulkan dosa, manakala prasangka yang baik tidak mendatangkan dosa dan dibenarkan. Contohnya jika seseorang yang telah berjanji tetapi tidak dapat menepatinya, lalu kita meletakkan sangkaan baik, kemungkinan dia ada masalah yang tidak dapat dielakkan.

3. Pergaduhan, perselisihan dan kerenggangan hati sesama kita sering tercetus akibat daripada prasangka buruk bila berlaku sesuatu yang menyalahi kehendak kita, masalah kecil menjadi besar, kadang-kadang sesuatu kebaikan yang dibuat oleh saudara kita juga diletakkan prasangka yang buruk, apatah lagi sesuatu yang buruk bertambah lagilah prasangka tidak baik kita letakkan pada saudara kita.

4. Apabila kita berhadapan dengan sikap saudara kita yang tidak baik, maka kita cubalah untuk menghadapinya dengan hati yang sabar, jangan mudah marah, atau cepat menghukum, sebaliknya kita hendaklah tenang dan bijaksana dalam menanganinya. Malah kita cuba berprasangka baik terlebih dahulu, dan andaikan sekiranya kita berada ditempat saudara kita.

5. Kebiasaanya perbuatan baik akan dibalas baik, jahat akan dibalas jahat, jarang berlaku pula kebaikan dibalas jahat, dan susah berlaku apabila kejahatan dibalas dengan kebaikan, maka inilah sifat dan sikap orang mukmin yang benar-benar berakhlak jika mampu bersangka baik sekalipun tidak baik yang berlaku.

6. Kita hendaklah melatih diri kita agar sentiasa berprasangka baik terhadap semua, suami isteri mesti berprasangka baik, ibu bapa terhadap anak-anak, majikan terhadap pekerjanya, sanak saudara bahkan seluruhnya begitulah sebaliknya, agar terhindar daripada sifat –sifat tercela yang merosakkan hubungan antara sesama kita.

7. Prasangka baik pula selagi tidak menjatuhkan maruah dan mencemarkan nama baik seseorang. Sesungguhnya ALLAH SWT bersama dengan prasangka baik hamba-hambaNYA, dengan prsangka baik akan menjadikan seseorang itu sentiasa dihormati dan mulia, kerana orang yang menjaga saudaranya daripada sebarang keburukan, ALLAH akan memeliharanya daripada sebarang keburukan jua di dunia dan akhirat. Sama-samalah kita menjaga hati agar sentiasa baik dan sejahtera. WALLAHU’ALAM

sumber:
Sharifah Dawrah Binti Syed Sheh
Jabatan Pematuhan Syariah

About these ads